Berita Semasa

Pendaftaran PADU fasa kedua akan dibuka – Rafizi

KUALA LUMPUR – Sistem pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) akan di buka di bawah fasa kedua tidak lama lagi.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, langkah ini membolehkan mana-mana individu yang belum mendaftar dapat mengemas kini maklumat masing-masing mengikut tempoh yang akan ditetapkan.

“Kerajaan meminta semua pihak dapat memberikan kerjasama dalam meningkatkan kesedaran rakyat akan kepentingan penggunaan data PADU.

“Pada masa hadapan, data PADU akan menjadi rujukan utama dalam pembentukan program intervensi kerajaan dan pengenalpastian kumpulan penerima bantuan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Rafizi berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Anyi Ngau (GPS- Baram) mengenai kedudukan terkini mengenai sistem PADU di Sarawak dan langkah ditetapkan supaya penduduk di Sarawak khususnya golongan B40 tidak tersisih daripada objektif sistem PADU.

Rafizi kemudiannya berkata, sebanyak 10,544,016 juta individu sudah mengemaskinikan maklumat dalam sistem berkenaan apabila tempoh pendaftaran PADU fasa satu tamat Mac lalu.

“Daripada jumlah berkenaan, seramai 1,071,796 juta rakyat di Sarawak sudah mengemas kini maklumat di PADU,” katanya lagi.

Kerajaan Sarawak sebelum ini memutuskan untuk menangguhkan pendaftaran PADU di negeri itu.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, matlamat kerajaan menerusi penggunaan PADU adalah bagi meningkatkan kecekapan perancangan dasar dan pengagihan sumber, terutama penyasaran semula subsidi dan bantuan kerajaan lebih bersasar.

“Kerajaan komited dalam memastikan kesejahteraan rakyat tercapai selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mampan, sejahtera dan berpendapatan tinggi,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button