HiburanLuar Negara

Pearl Jam batal konsert jelajah Eropah akibat jangkitan penyakit

LONDON – Kumpulan rock terkenal, Pearl Jam mengumumkan pembatalan konsert jelajah Eropah mereka disebabkan jangkitan penyakit dalam kalangan ahli kumpulan itu.

Kumpulan dari Seattle, Amerika Syarikat (AS) itu pada hujung minggu lalu telah membatalkan persembahan mereka yang dijadualkan berlangsung di Stadium Tottenham Hotspur, London.

Terbaru, mereka membatalkan dua lagi tarikh persembahan di Waldbühne, Berlin pada 2 dan 3 Julai.

“Walaupun dengan segala usaha terbaik, anggota kumpulan kami masih belum pulih sepenuhnya.

“Kami amat memahami ramai yang menghabiskan masa, wang dan tenaga untuk mendapatkan tiket dan datang melihat persembahan kami.

“Ia amat menyedihkan kami kerana terpaksa mengecewakan peminat,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook semalam.

Dalam kenyataan itu, Pearl Jam turut memberi penghargaan atas usaha semua pihak yang berusaha menjayakan persembahan jelajah mereka.

“Percayalah, kami tidak pernah mengambil keputusan ini secara remeh kerana sudah cuba sebaik mungkin untuk menghiburkan anda semua.

“Kami berharap penjadualan semula dapat dilakukan untuk jelajah ini dan berharap dapat kembali tidak lama lagi.

“Terima kasih kerana memahami dan sokongan berterusan anda,”katanya lagi.

Dalam kenyataan itu, Pearl Jam tidak mendedahkan jenis penyakit yang dimaksudkan dan nama anggota kumpulan yang terlibat.

Dalam persembahan terdahulu, vokalis, Eddie Vedder memaklumkan jangkitan penyakit berpunca daripada sentuhan ketika bersalam dengan peminat di Dublin.

Pearl Jam kini sedang dalam jelajah mempromosikan album terbaru mereka Dark Matter.

Selepas siri jelajah di Jerman dan Sepanyol, kumpulan ini dijadualkan berehat seketika sebelum memulakan bahagian jelajah mereka di AS pada 26 Ogos.

Show More

Related Articles

Back to top button