Berita SemasaSukan

Olimpik Paris 2024: Bertrand Rhodict, Nur Shazrin pembawa Jalur Gemilang

KUALA LUMPUR – Penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran, Nur Shazrin Mohamad Latif diberi penghormatan untuk membawa Jalur Gemilang pada upacara perasmian temasya Sukan Olimpik Paris 2024 di Perancis pada 26 Julai ini.

Menurut Majlis Olimpik Malaysia (MOM), pemilihan kedua-dua atlet tersebut mencerminkan kekuatan dan semangat anggota kontinjen negara yang terdiri daripada atlet yang membuat penampilan sulung serta berpengalaman di pentas Olimpik.

Bertrand merupakan atlet negara pertama yang layak secara merit ke Paris pada Julai tahun lepas sementara itu, Nur Shazrin akan membuat penampilan ketiganya di pentas Olimpik selepas penyertaan di Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Tambah lagi, beliau juga merupakan pelayar negara pertama yang diberi penghormatan untuk membawa bendera Malaysia semasa majlis perasmian.

Terdahulu, kedua-dua atlet tersebut menunjukkan prestasi cemerlang pada Sukan Asia Hangzhou 2022 yang diadakan tahun lalu.

Bertrand berjaya meraih pingat gangsa dalam acara 10m platform seirama, sementara itu Nur Shazrin pula meraih pingat emas dalam acara dinghy, yang melayakkannya ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Perasmian temasya Sukan Olimpik Paris 2024 pastinya akan menjadi momen bersejarah buat Malaysia dengan kehadiran Bertrand dan Nur Shazrin sebagai pembawa Jalur Gemilang.

Show More

Related Articles

Back to top button