Jenayah & Mahkamah

Mahkamah Persekutuan tolak rayuan pembunuh Baby Zara, kekalkan hukuman mati

KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini, mengekalkan hukuman gantung sampai mati yang dihadapi seorang bekas tukang gunting rambut yang membunuh bayi perempuan berusia 11 bulan dikenali ‘Baby Zara’ enam tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Rhodzariah Bujang yang bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara menolak rayuan akhir oleh Hazmi Majid, 42, selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman tesebut.

Hakim menyifatkan hukuman mati merupakan hukuman yang sesuai dijatuhkan kerana jenayah yang dilakukan oleh perayu sangat kejam.

Ketika kejadian, bayi berkenaan m berusia 11 bulan dengan berat badan hanya 8.26 kilogram dan belum tumbuh gigi mengalami kecederaan pada dubur dan pendarahan serius pada keseluruhan otaknya.

Mengikut pertuduhan, Hazmi yuang juga suami kepada pengasuh mangsa disabitkan membunuh Nur Muazaralfa Mohammad Zainal di sebuah unit di Pangsapuri Sri Cempaka, Jalan 6/3, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, antara jam 10.30 pagi dan 1.30 tengah hari, pada 7 November 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan bayi malang itu meninggal dunia selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang, Selangor, dipercayai akibat penderaan fizikal dan seksual oleh suami pengasuh bayi tersebut.

Ibu bayi itu sebelum ini dimaklumkan bahawa anaknya telan dihantar ke hospital akibat tercekik buah epal, namun pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan koyakan pada selaput dara dan duburnya.

Selain itu, laporan Patologi juga mendapati punca kematian mangsa disebabkan ‘impak dipercayai objek tumpul terhadap kepala dan tengkoraknya.

Pada 29 November 2018, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dengan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kajang kerana memasukkan jari ke dalam kemaluan dan dubur bayi itu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 20 tahun dan enam sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara 20 tahun dan enam sebatan bagi pertuduhan kedua.

Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 13 November 2018.

Show More

Related Articles

Back to top button