Berita SemasaSukan

Euro 2024: Diogo Costa wira Portugal untuk melangkah ke suku akhir

FRANKFURT – Penjaga gol Portugal, Diogo Costa muncul wira apabila berjaya menyelamatkan tiga sepakan awal pemain Slovenia pada penentuan penalti untuk memastikan Portugal melangkah ke peringkat suku akhir saingan Euro 2024.

Terdahulu kedua-dua pasukan itu terikat tanpa jaringan 120 minit masa penuh permainan di Stadium Arena Frankfurt.

Pada separuh masa pertama, walaupun Portugal mendominasi perlawanan, benteng pertahanan Slovenia yang berdisiplin berjaya menyerap segala tekanan dan serangan yang diatur oleh pasukan lawan.

Pada separuh masa kedua, skuad Portugal cuba untuk menambah asakan demi asakan di bahagian serangan untuk namun Slovenia bekerja lebih keras dan bertahan dengan ampuh.

Walaupun beberapa peluang berjaya dicipta oleh kedua-dua pasukan ketumpulan penyudah menyebabkan perlawanan kekal tanpa jaringan hingga tamat 90 minit memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.

Memasuki masa tambahan, Portugal hampir mendahului Slovenia pada minit ke-105 melalui sepakan penalti yang dihadiahkan oleh pengadil perlawanan selepas Diego Jota dikasari pemain lawan.

Namun, penjaga gol Slovenia, Jan Oblak cemerlang menafikan sepakan yang diambil oleh Cristiano Ronaldo, mengecewakan para penyokong Portugal.

Serangan bertali arus daripada kedua-dua pasukan dalam masa tambahan tidak berjaya membuahkan hasil, sekali gus membawa permainan ke penentuan sepakan penalti.

Dalam sepakan penalti tersebut, Portugal berjaya menyempurnakan kesemua sepakan mereka sementara Slovenia gagal menjaringkan sebarang gol.

Dengan kemenangan tersebut, Portugal melangkah ke peringkat suku akhir dan akan terus bersaing dalam saingan Euro 2024.

Show More

Related Articles

Back to top button