Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Tidak tahan sedih, ibu mangsa wanita dibunuh suami dipapah ahli keluarga

BATU GAJAH – Ibu kepada wanita yang dipercayai dibunuh oleh suaminya terpaksa dipapah selepas tidak dapat menahan kesedihan ketika ‘berdepan’ dengan menantunya ketika dituduh di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Rozita Radzuan sebelum itu sempat meluahkan kekesalan terhadap tertuduh ketika dikeluarkan dari lokap mahkamah.

“Sampai hati kau bunuh anak ibu, anak ibu baik, 32 tahun ibu jaga,” itu kata-kata yang sempat dilemparkan Rozita kepada Hairil Anaas Abdullah, 37 sebelum dipapah ahli keluarganya.

Hairil Anaas yang merupakan seorang penganggur dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh isterinya di sebuah hotel, dua minggu lalu.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Mengikut pertuduhan, suspek didakwa menyebabkan kematian Nisya Syahkila Shaharun, 32, antara pukul 7.30 pagi hingga 2 petang pada 20 Jun lalu.

Suspek yang membuat pengakuan di balai polis selepas kejadian di sebuah hotel di Jalan Pejabat Pos, di sini mengaku membunuh mangsa akibat masalah rumah tangga.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, boleh disebat tidak kurang 12 sebatan.

Sebelum itu, tiada sebarang jaminan ditawarkan oleh mahkamah kepada tertuduh.

Mahkamah menetapkan 9 Ogos depan untuk sebutan kes bagi menunggu laporan kimia, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan bedah siasat.

Show More

Related Articles

Back to top button