Berita SemasaSukan

Pemain badminton remaja China meninggal dunia

Tiba-tiba rebah di gelanggang ketika sedang menunggu servis lawannya

YOGYAKARTA – Pemain perseorangan China, Zhang Zhi Jie dilaporkan meninggal dunia ketika menyertai Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC), di sini malam tadi.

Kejadian berlaku ketika pemain muda itu beraksi menentang Jepun dalam saingan peringkat kumpulan pada pukul 11.20 malam (waktu tempatan).

Sebelum kejadian Zhi Jie dilihat menunggu pukulan servis daripada pemain lawan, sebelum tiba-tiba rebah di gelanggang.

Berita sedih itu dikongsi menerusi kenyataan bersama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Seluruh Indonesia (PBSI).

“Pemain perseorangan China, Zhi Jie rebah di atas gelanggang ketika beraksi. Doktor kejohanan dan pasukan perubatan kemudian bergegas memberi bantuan awal.

“Dia kemudian dihantar ke hospital menggunakan ambulans, namun meninggal dunia pada pukul 23.20 waktu tempatan malam tadi,” kata kenyataan tersebut.

Badminton Asia, PBSI dan Jawatankuasa Penganjur merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Zhi Jie dan Persatuan Badminton China (CBA).

“Dunia badminton kehilangan pemain berbakat,” kata kenyataan itu lagi.

Pertandingan kategori berpasukan bermula sejak 28 Jun hingga 2 Julai.

Selepas acara berpasukan saingan akan bersambung dengan pertandingan kategori individu.

Show More

Related Articles

Back to top button