Berita Semasa

KPM sahut saranan PM beri tempat pelajar SPM dapat 10A di matrikulasi

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi tempat kepada pelajar yang mendapat keputusan 10A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di mana-mana matrikulasi seluruh negara.

KPM berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi menyaring jumlah pelajar cemerlang 10A yang telah membuat permohonan ke program matrikulasi KPM atau program-program melalui UPUOnline oleh Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA).

Jelas KPM, ini bagi membolehkan mereka yang tidak ditawarkan tempat dapat diselaras semula tawaran berdasarkan kepada pilihan program pelajar.

“Tawaran tempat dan jurusan adalah bergantung kepada kelayakan calon dan kekosongan Program Matrikulasi KPM manakala KPT akan fokus kepada kemasukan program-program asasi dan diploma di universiti awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut KPM, ketetapan tersebut dibuat bagi memastikan pelajar cemerlang SPM dan daripada keluarga B40 mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian.

“Pada masa yang sama sistem kuota bumiputera sedia ada bagi Program Matrikulasi KPM kekal dan tidak terjejas.

“Kerajaan Madani komited memastikan akses pendidikan dapat dipertingkatkan demi manfaat semua pelajar yang merupakan aset masa hadapan negara,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button