Berita SemasaPM X

Isu BlackRock: Jangan bahas keterlaluan sehingga kepentingan negara terjejas – PM

PUTRAJAYA – Isu polemik BlackRock yang dikaitkan dengan rejim Israel usah dibahaskan berlebihan sehingga boleh mengakibatkan kepentingan negara terjejas, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas beliau, ini kerana pendirian kerajaan berhubung isu kemanusiaan di Palestin masih lagi teguh dan jelas serta ketara berbanding negara lain.

“Pendirian mengenai Gaza ini, dalam sejarah dan ketimbang negara lain, kita antara paling jelas dan keras, janganlah tuntut lebih daripada itu, kita ini negara berkembang, kita lihat tahap keupayaan kita, jangan kerana nafsu serakah, kita nak tunjuk hebat, kita rosakkan kepentingan negara.

“Setiap kali saya lakukan (lawatan ke luar negara), ketika berucap di depan (Presiden Amerika Syarikat) Joe Biden dan negarawan lain, saya pertahankan prinsip ini, saya mahu rakyat (kita) selamat dan rakyat terjamin kedudukan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata isu BlackRock bukan baharu kerana bekas Perdana Menteri ketika melawat London pada 2018 pernah menekankan keperluan syarikat itu masuk ke Malaysia secara lebih jelas dan ketara.

Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri pada 2021 pula telah meluluskan cadangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menyerahkan pengurusan dana khas KWSP sebanyak RM600 juta kepada BlackRock.

“Jadi pada masa itu, dasar agak simpati dengan Israel itu jelas? Kemudian orang kata itu sebelum 7 Oktober (2023), sebelum ‘genocide’. Ini fahaman sejarah politik memang lemah sangat.

“Kezaliman Israel terhadap Palestin sejak 1948 yang disebut nakbah, kemusnahan, pengusiran jutaan orang, pembunuhan puluhan ribu orang, istilah apa pun, memang kezaliman yang sangat jelas, tidak ada yang pertikai,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button