Berita SemasaPolitikSukan

Syed Saddiq berjaya kumpul RM101,000

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya menamatkan cabaran pertama Langkah Muar melalui larian sejauh 200 kilometer yang bermula pada Jumaat lalu.

Ahli Parlimen Muar itu berjaya mengumpulkan RM101,006 dalam masa 48 jam sejak memulakan larian bagi mendesak kerajaan menyalurkan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

“RM101,006 dalam 48 jam! Alhamdulillah. Saya terhutang budi kepada semua. Lagi ditekan, lagi ramai yang berkawan.

“Sakit macam mana pun, saya tidak akan berhenti,” katanya dalam satu hantaran di laman X hari ini.

Syed Saddiq menyatakan bahawa larian itu juga bertujuan mengumpul dana RM100,000 untuk memastikan Pusat Khidmat Muar dapat terus beroperasi dan membantu rakyat yang memerlukan.

Syed Saddiq kini sedang berusaha menamatkan larian sejauh 200 kilometer selama empat hari, dengan tujuan menuntut peruntukan tahunan RM4 juta atau RM20 juta setiap penggal untuk Ahli Parlimen pembangkang, sama seperti yang diterima oleh Ahli Parlimen kerajaan.

“Ahli Parlimen kerajaan menerima RM4 juta setahun dan RM20 juta sepenggal. Perbezaan ini sangat ketara. Walaupun mustahil untuk mencapai RM20 juta, namun dengan dana yang dikumpul, kami dapat terus membuka pusat khidmat Muar, membayar gaji staf, dan memberi bantuan terus kepada orang susah. Daripada menunggu janji manis kerajaan, lebih baik kami bertindak sendiri,” katanya lagi.

Mengikut jadual, Syed Saddiq memulakan larian hari ini dari Seremban ke Semenyih, Selangor sejauh 39 kilometer pada pukul 6.30 pagi dan menyambung larian ke Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur sejauh 20 kilometer pada pukul 5 petang.

Larian akan diteruskan pada Isnin sejauh 20 kilometer, bermula pukul 6.30 pagi, dan dijangka sampai di Parlimen pukul 9 pagi.

Show More

Related Articles

Back to top button