Berita Semasa

Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR Dr. Syed Husin meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr. Syed Husin Ali meninggal dunia di Hospital Selayang awal pagi ini, pada usia 88 tahun, maklum Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil.

Menurut Fahmi, beliau telah menziarahi Allahyarham di Hospital Selayang pada Khamis lalu selepas Allahyarham dimasukkan ke hospital pada Hari Raya Haji kedua.

“Allahyarham banyak berjasa kepada parti dan rakyat, telah menerbitkan banyak buku termasuk ‘Dua Wajah: Tahanan Tanpa Bicara’ yang mengisahkan pengalaman beliau ditahan di bawah ISA serta ‘Sejarah dan Dasar Perjuangan KEADILAN’, dan banyak terlibat dalam pelbagai pilihan raya selain lama berjuang dalam politik tanah air,” kata Fahmi dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, beliau juga pernah membantu kempen Allahyarham pada Pilihan Raya Umum 2004 sewaktu bertanding di kerusi Petaling Jaya Selatan.

“Dr Syed seorang yang pandangannya cukup dihormati dalam parti dan sering menjadi rujukan para pimpinan. Beliau seorang penyabar, lemah lembut, tegas dalam bab disiplin dan banyak menyampaikan nasihat termasuk kepada diri saya sendiri.

“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham dan menempatkan rohnya dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya lagi.

Sebagai rekod, Dr. Syed Husin pernah berkhidmat sebagai Senator Dewan Negara, Timbalan Presiden PKR, Presiden Parti Rakyat Malaysia serta profesor di Universiti Malaya.

Show More

Related Articles

Back to top button