Berita SemasaPM X

PM mahu negeri lain contohi prestasi cemerlang LHDN Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Prestasi cemerlang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Pulau Pinang dalam memperoleh kutipan hasil yang tinggi perlu dicontohi oleh agensi itu di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi suku pertama tahun ini, LHDN Pulau Pinang telah berjaya mencatatkan kutipan hasil melebihi daripada apa yang diunjurkan.

Katanya, sasaran kutipan cukai yang tinggi secara tidak langsung mampu dicapai jika setiap agensi berusaha mengurangkan keciciran akibat kelemahan tatakelola.

“Kita harap negeri-negeri lain usahakan juga (kutipan hasil tinggi), kita tidak mahu ada kebocoran atau keciciran.

“Saya titipkan semangat buat warga HASiL (LHDN) agar pengurusan dan tatakelola pentadbiran terus diutamakan, berkhidmat dengan gigih dan seikhlas hati,” katanya selepas merasmikan Menara Hasil Pulau Pinang, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin.

Prestasi kutipan cukai LHDN di Pulau Pinang sehingga 31 Mei lalu ialah sebanyak RM 3.542 bilion dan ia adalah satu pencapaian yang positif berbanding sasaran kutipan yang ditetapkan tahun lalu.

Anwar berkata, secara keseluruhan beliau berbangga dengan pencapaian LHDN pada tahun lalu yang mencatatkan kutipan tertinggi dalam sejarah.

Dalam pada itu katanya, Malaysia masih mengekalkan asas cukai yang rendah iaitu sekitar 11.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), kadar yang jauh lebih rendah berbanding negara lain di rantau ini.

“Saya meletakkan harapan yang tinggi buat warga HASiL terutamanya dalam usaha meningkat serta meluaskan hasil negara,” katanya dalam hantaran di Facebooknya petang ini.

 

Show More

Related Articles

Back to top button