Berita Semasa

Kerajaan Terengganu tuntut RM1 bilion dari Kerajaan Pusat

MARANG – Kerajaan Terengganu diminta mengemukakan tuntutan berdasarkan keperluan kewangan semasa berkait tuntutan royalti petroleum yang kini dianggarkan berjumlah RM1 bilion dari Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah itu termasuk baki berjumlah kira-kira RM700 juta yang belum diserahkan kerajaan pusat bagi tahun 2023.

Katanya, kerajaan negeri akan terus berusaha menuntut baki pembayaran royalti itu dari semasa ke semasa dan tuntutan mengenainya telah dibincangkan dengan Kementerian Kewangan sebelum ini.

“Kalau campur dengan royalti tahun ini, kalau tidak silap saya ada lebih RM1 bilion. Kita akan terus berusaha untuk mendapatkan wang royalti itu.

“Walaupun tiada perbincangan khusu mengenai royalti tapi saya telah menyuarakan kepada Menteri Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) mengenai keperluan semasa yang diperlukan setiap bulan,” katanya selepas melancarkan Temasya Sukan DAR Terengganu di Kelulut di sini hari ini.

Dr. Ahmad Samsuri berkata, setakat ini beliau tidak mempunyai jawapan mengapa baki pembayaran wang itu tidak dilunaskan oleh Kerajaan Persekutuan seperti dijadualkan.

Untuk rekod, kerajaan negeri ini dilaporkan menerima RM510 juta setakat Oktober tahun lalu.

Sebelum ini Ahmad Samsuri menyuarakan isu tunggakan royalti petroleum ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam sidang Parlimen pada 5 Mac lalu.

Ahli Parlimen Kemaman itu berkata, wang royalti atau disebut oleh Kerajaan Persekutuan sebagai Wang Ehsan dan Dana Khas yang diterima sejak sekian lama itu diharap dapat diteruskan tanpa sebarang kelewatan untuk manfaat 1.2 juta rakyat Terengganu.

Show More

Related Articles

Back to top button