Berita Semasa

Demo Rakyat Lawan Anwar pusingan kedua bakal diadakan di Tambun

PUTRAJAYA – Perhimpunan Demo Rakyat Lawan Anwar pusingan kedua bakal diadakan di Tambun, Perak sekiranya lapan tuntutan yang dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak diambil tindakan.

Penganjurnya, Aidil Yunus berkata, pihaknya memberikan tempoh masa 30 hari kepada Anwar untuk berbuat demikian.

“Kita beri 30 hari dan jika tiada apa-apa maklum balas daripada Perdana Menteri berhubung lapan tuntutan ini, kami sedia berhimpun sekali lagi.

“Untuk pusingan kedua, kami akan turun ke Tambun. Kami mahu Perdana Menteri ambil tindakan terhadap lapan tuntutan ini kerana ini adalah suara rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan Demo Rakyat Lawan Anwar yang diadakan di kawasan tempat letak kenderaan di hadapan Kompleks Seri Perdana, di sini petang tadi.

Terdahulu, peserta perhimpunan berbaju hitam itu berhimpun di kawasan letak kenderaan di hadapan Kompleks Seri Perdana, di sini mulai pukul 4 petang tadi.

Mereka mendesak Perdana Menteri menunaikan lapan tuntutan iaitu antaranya mendesak kerajaan menurunkan semula harga diesel dan mengembalikan bekalan beras putih tempatan.

Show More

Related Articles

Back to top button