Asyraf Wajdi tegaskan Kerajaan Perpaduan tidak abai kedudukan Islam
NIBONG TEBAL – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan
Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa berusaha memastikan kedudukan agama Islam di negara ini terjaga.
Menurut beliau, dakwaan pembangkang yang menyatakan Islam kini terabai adalah tidak berasas, malah ia sengaja ditimbulkan bagi meraih undi ketika pilihan raya.
“Ceramah-ceramah puak di sebelah sana setiap malam, isu yang dimainkan, seolah-olah Islam tercabar, keistimewaan orang Melayu dicabar.
“Selagi kita wujudkan Kerajaan Perpaduan yang di dalamnya ada 19 parti politik yang menghormati sesama lain, insya-Allah kita akan pastikan negara ini terus prihatin dengan memahami realiti ini ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perpaduan di Pusat Daerah Mengundi Tasek Junjong, Simpang Ampat di sini, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Aminuddin Harun.
PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan calon Pakatan Harapan Dr Joohari Ariffin dicabar oleh Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu.
Kerusi DUN Sungai Bakap yang mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis itu kosong berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune