Berita Semasa

APMM selamatkan nelayan sakit dada di laut

KOTA TINGGI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menyelamatkan seorang nelayan yang dilaporkan sakit dada ketika di perairan Tanjung Sedili, di sini semalam.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, nelayan terbabit berdepan detik cemas pada pukul 9.40 pagi ketika berada pada kedudukan 12 batu nautika timur Tanjung Sedili.

Susulan itu, nelayan berkenaan, Shamsul Ma’arif, 37, menghubungi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru dan memohon bantuan kecemasan.

“Bot ronda Maritim Malaysia PETIR 12 tiba di lokasi mangsa berada pada pukul 12.50 tengah hari.

“Bot ronda tiba di Jeti Zon Maritim Tanjung Sedili pada pukul 2.30 petang sebelum pesakit dikejarkan ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, mangsa kemudian dibenarkan pulang setelah selesai menjalani pemeriksaan kesihatan pada pukul 3.40 petang.

“Mangsa dinasihatkan berehat daripada melakukan kerja-kerja berat,” ujarnya.

Sementara itu, beliau menasihati supaya komuniti maritim yang berdepan detik cemas atau melihat sebarang kecemasan di laut segera melaporkan ke talian MERS 999 atau MRSC Johor Bahru di talian 07-2219231.

Show More

Related Articles

Back to top button