
TERLETAK kira-kira 70 kilometer dari Kuala Lumpur, bandar Port Dickson sememangnya antara destinasi pilihan utama kerana kepelbagaian tempat menarik yang terdapat di bandar ini.
Selain kemeriahan pantai di Teluk Kemang, rumah api di Tanjung Tuan, pusat ikan hiasan dan banyak lagi, bandar ini menyimpan satu lagi ‘permata’ yang cukup sinonim dengan gelarannya sebagai Bandar Tentera Darat.
Ia tidak lain tidak bukan adalah Muzium Tentera Darat yang boleh dikategori sebagai salah satu destinasi wajib dikunjungi di Port Dickson.
Bukan sekadar galeri tayangan yang dihiasi artifak, muzium yang didirikan di atas tapak depoh Askar Melayu ini mempunyai ‘roh’ dan identiti yang tersendiri.

Bagi penulis, ziarah ke gedung yang menyimpan seribu satu catatan mengenai tentera darat ini bukan hanya peluang mengimbau sejarah lalu tetapi mampu membakar semangat patriotik dalam diri.
Langkah pertama penulis di muzium yang diilhamkan oleh bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Md Hashim Hussein ini disambut oleh barisan meriam yang pernah menjadi tonggak artileri negara.
Susunan senjata di kiri dan kanan laluan ketibaan yang suatu ketika dahulu pernah menggempur musuh negara itu seakan-akan bersalutasi kepada pengunjung.
Di tengah-tengah dataran muzium, tersergam indah Tugu Peringatan di mana terukirnya 950 perwira negara yang gugur mempertahankan kedaulatan tanah air. Binaan lima tiang adalah simbolik teras Rukun Islam, Rukun Negara dan Ikrar Kesatria.

Selesai memberi penghormatan, penulis melangkah ke pekarangan bangunan utama untuk ‘mengendalikan’ beberapa lagi aset persenjataan artileri antaranya meriam Bofors yang dihadiahkan oleh tentera Australia sebaik pengunduran pasukan itu pada tahun 1970.
Di blok utama muzium (Blok A), kehadiran kami disambut mesra oleh beberapa anggota tentera yang bertugas. Selepas mendengar taklimat ringkas kami memulakan pengembaraan ke 13 bilik galeri yang setiap satu dikoreograf mengikut tertibnya.
Pengembaraan kami bermula di galeri zaman Kesultanan Melayu Melaka yang disempurnakan dengan penataan cahaya dan kesan bunyi yang cukup menarik, lengkap dengan segala informasi yang diperlukan.
Perkembangan dan sejarah pertahanan tanah air seterusnya disusun mengikut kronologi penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris dan kemudian penubuhan Askar Melayu, pra kemerdekaan, selepas kemerdekaan sehinggalah yang terkini.
Turut dipertontonkan adalah perjuangan tokoh-tokoh pahlawan yang suatu ketika dahulu pernah memberi penentangan hebat kepada penjajahan Inggeris di Tanah Melayu.

Sorotan sejarah pertahanan negara juga membawa pengunjung memasuki ‘terowong masa’ bagi mengimbau perjuangan dan pengorbanan anggota pasukan tentera darat dalam menentang pasukan Parti Komunis Malaya (PKM).
Terowong PKM yang digali pada kedalaman 15 meter di bawah tanah ini pada penulis adalah kemuncak pengalaman di muzium ini. Laluan ini memberi penceritaan sebenar pengkhianatan anggota pasukan PKM kepada negara.
Sepanjang laluan sempit dan bercahaya malap di sini, pengunjung disajikan dengan replika bilik tidur, bilik komunikasi, bengkel senjata, bilik menembak, bilik pembedahan dan dewan latihan anggota PKM.

Selepas menyelusuri terowong sejauh kira-kira satu kilometer itu, kami muncul semula di permukaan dataran muzium dan beristirehat seketika di Kampung Ikhtiar Hidup.
Kawasan yang dihiasi landskap hutan mini, kolam ikan, gazebo dan laluan tergantung antara pokok di sini juga adalah persinggahan yang pasti tidak akan mengecewakan pengunjung.
Bagi penulis, pengalaman yang ditawarkan secara percuma di Muzium Tentera Darat ini cukup mahal jika dibandingkan dengan cerita-cerita percutian kami yang lalu.
Apa kata pengunjung

Daniel Alagarajoo, 20, berkata, minat yang mendalam terhadap sejarah ketenteraan membawa beliau buat kali kedua ke muzium itu.
Selain dapat melihat dengan lebih dekat peralatan ketenteraan milik negara, peluang itu juga mengimbau kisah-kisah perjuangan datuknya yang pernah berkhidmat dalam angkatan tentera.
“Saya datang untuk belajar mensyukuri erti kebebasan dan menghargai perjuangan nenek moyang kita.
“Saya juga rasa generasi baharu sekarang tidak mengambil peluang untuk menghayati semangat perjuangan menentang penjajah,” kata pelajar Taylor’s Universiti dari Selangor itu.

Sementara itu, pelajar dari Perak, Aniez Jezzmin, 21, tidak menyangka muzium tersebut menyimpan artifak yang begitu komprehensif mengenai sejarah pertahanan negara.
“Paling menarik bagi saya adalah ketika masuk ke terowong PKM kerana bukan sahaja binaannya yang hebat tetapi pengalaman yang dirasai.
“Pastinya pendedahan mengenai muzium ini amat berguna terutama kepada golongan pelajar untuk mereka menjiwai sejarah negara dengan lebih baik,” katanya.
Penuntut Universiti Malaya itu turut mengesyorkan kerajaan menganjurkan lebih banyak program berkait sejarah ketenteraan negara terutama menjelang sambutan Hari Kemerdekaan setiap tahun.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |