Berita SemasaPolitik

PRK Nenggiri pada 17 Ogos, penamaan calon 3 Ogos

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan akan diadakan pada 17 Ogos ini.

Ia diadakan susulan kerusi disandang Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan kosong.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, penamaan calon dijadualkan pada 3 Ogos manakala undi awal pula akan diadakan pada 13 Ogos ini.

“Urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK itu dibuka bermula hari ini.

“DPPR bagi PRK Nenggiri adalah sebanyak 20,259 orang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat khas PRK Nenggiri yang diadakan di Menara SPR, di sini hari ini.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan PRK berkenaan membabitkan daftar pemilih tambahan April 2024 yang dikemaskini sehingga 18 Jun 2024.

Ramlan berkata, PRK berkenaan akan dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM1.6 juta.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan tempoh berkempen iaitu selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon hingga 11.59 malam, 16 Ogos.

Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 21 buah dengan 47 tempat mengundi manakala seramai 431 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK tersebut.

Selain itu, pusat penamaan calon (PPC) dan pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU) akan diadakan di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang.

Beliau berkata, pihaknya turut melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu tiga Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi menjalankan proses pilihan raya kecil berkenaan.

“Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya, SPR akan menubuhkan dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya yang dianggotai wakil daripada polis, pihak berkuasa tempatan dan wakil calon bertanding.

“Pada PRK ini, SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan atau badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya,” katanya.

Terdahulu, Speaker Dewan Negeri Kelantan, Datuk Seri Amar Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang ADUN BERSATU mengenai keahlian Mohd Azizi yang hilang daripada parti itu.

Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang antara enam Ahli Parlimen dan ADUN BERSATU yang terlucut keahliannya kerana mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Show More

Related Articles

Back to top button