Berita SemasaSukan

Pakaian Olimpik Malaysia: MOM ambil tanggungjawab, sedia berbincang dengan Yonex

PUTRAJAYA – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengambil sepenuh tanggungjawab atas kontroversi berhubung reka bentuk pakaian rasmi Kontinjen Malaysia pada majlis pelancaran yang berlangsung di The Exchange (TRX) pada 23 Jun lalu.

Presiden MOM, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria berkata, beliau menzahirkan kesediaannya untuk berbincang dengan Yonex, penaja pakaian rasmi Olimpik kontinjen Malaysia bagi menambah baik reka bentuk pakaian tersebut.

“Sebagai badan yang menguruskan pendaftaran dan penyertaan atlet, jurulatih dan pegawai di semua temasya pelbagai sukan, MOM mengambil sepenuh tanggungjawab atas kekeliruan yang berlaku.

“Pertama sekali, MOM menjelaskan bahawa Yonex merupakan penaja pakaian rasmi Kontinjen Malaysia sejak tahun 2014.

“MOM memutuskan untuk menambah baik reka bentuk sedia ada bagi melambangkan motif Harimau yang lebih jelas di jaket serta logo MOM yang berwarna bagi menghormati status Jalur Gemilang.

“MOM akan berbincang dengan Yonex untuk menambah baik reka bentuk jaket yang melambangkan status negara dan memenuhi harapan rakyat jelata,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau menjelaskan corak dan reka bentuk pakaian diperbaharui pada setiap kitaran baharu penajaan MOM yang kebiasaannya bermula daripada Sukan SEA dan berakhir di Sukan Olimpik.

“Sebagai contoh, rekaan baju Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 telah digunakan sehingga Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“MOM telah menerima maklum balas daripada pelbagai pihak, termasuk pandangan atlet yang berpendapat motif dan reka bentuk pakaian untuk temasya berprestij seperti Sukan Olimpik memerlukan pembaharuan,” katanya.

Susulan itu, reka bentuk pakaian rasmi Kontinjen Malaysia akan melalui kitaran baharu bermula dengan Sukan SEA Thailand 2025 hingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Tambahnya, MOM menjelaskan bendera Malaysia atau Jalur Gemilang bukan diubah suai sesuka hati berhubung kontroversi warnanya yang berubah.

“Logo ini, apabila digunakan dalam versi lima warna atau polychrome, warna lima gegelung tersebut dari kiri ke kanan, biru, kuning, hitam, hijau dan merah.

“Biru, hitam dan merah di sebelah atas, manakala kuning dan hijau di sebelah bawah. Versi lima warna hanya boleh digunakan pada latar belakang putih mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

“Andai latar belakang tersebut adalah selain daripada putih, versi monochrome atau satu warna mesti digunakan. Sebagai contoh jika latar belakang hitam, logonya hendaklah digunakan dengan warna contrast satu warna sahaja seperti putih, kuning atau biru,” jelasnya.

Katanya, niat asal pasukan reka bentuk adalah untuk memaparkan corak dan reka bentuk jaket yang dilancarkan bertemakan warna emas yang digabungkan dengan hitam sebagai simbol mencerminkan aspirasi untuk membawa pulang emas pertama buat Malaysia.

“Versi emas logo MOM yang menggabungkan kibaran bendera dan lima gegelung Olimpik menepati garis panduan IOC,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button