Berita Semasa

Malaysia duduki tangga ke-7 negara paling dipercayai

KUALA LUMPUR – Malaysia tersenarai di tangga ketujuh negara paling dipercayai menurut kaji selidik Barometer Kepercayaan Edelman 2024 melalui tinjauan melibatkan 28 negara.

Menurut laporan itu, Malaysia naik dua anak tangga selepas kenaikan enam mata dalam pemarkahan Indeks Kepercayaan yang mewakili purata peratusan kepercayaan orang ramai terhadap badan bukan kerajaan (NGO), perniagaan, kerajaan dan media.

Ketua Pegawai Operasi Edelman Malaysia, Chris de Cruz berkata, peningkatan kepercayaan yang diraih Malaysia menunjukkan anjakan persepsi awam terhadap tadbir urus dan rangka kerja institusi negara ini.

“Keadaan itu memaparkan peningkatan optimis dalam kemampuan mengemudi cabaran ekonomi serta memupuk pertumbuhan inklusif,” katanya.

Sehubungan itu, negara-negara lain dalam kelompok 10 teratas adalah China (skor 79), India (76), Emiriah Arab Bersatu (74), Indonesia (73), Arab Saudi (72), Thailand (70), Singapura (67), Kenya (64) dan Nigeria (61).

Menurut kenyataan Edelman, kerajaan telah menyaksikan peningkatan yang baik iaitu sebanyak 13 mata dalam kepercayaan orang ramai sejak tahun lepas.

Sementara itu, perniagaan turut didapati menjadi institusi paling dipercayai menurut kaji selidik yang sama iaitu dengan skor 75, diikuti NGO (70), kerajaan (67) dan media (60).

Edelman menyifatkan perniagaan dilihat sebagai teras pemacu perubahan masyarakat dan menjadi institusi paling dipercayai.

Terdahulu, laporan berkenaan membabitkan kaji selidik dijalankan pada 3-22 Nov 2023 di mana lebih 32,000 responden ditinjau dalam 28 negara yang bertujuan memberi gambaran sentimen awam mengenai aspek kepercayaan, inovasi dan tadbir urus.

Usaha berkenaan juga merupakan tinjauan kepercayaan dan kredibiliti tahunan bagi firma itu yang mengetengahkan asas program kepimpinan pemikirannya yang meneliti keyakinan dan kredibiliti merentasi industri, geografi dan demografi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button