Berita Semasa

Kursus integriti, antirasuah jadi modul wajib TVET

PUTRAJAYA – Kursus integriti dan antirasuah bakal dijadikan mata pelajaran wajib di semua Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, mata pelajaran itu akan diajar tenaga pengajar daripada SPRM, dengan modul digunakan akan membabitkan Akta SPRM 2009 serta modul Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR).

“SPRM peka dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan bidang TVET selari dengan keperluan revolusi Industri 4.0 di mana banyak pertambahan peluang latihan dibuka kepada pelajar.

“Modul KIAR ini dijadikan sebagai sebahagian daripada pendidikan TVET sedia ada sebagai satu usaha berterusan untuk melahirkan tenaga kerja dan usahawan yang tidak berkompromi terhadap sebarang perlakuan rasuah.

“Ia bagi memastikan industri yang didukung oleh TVET terutamanya industri kecil dan sederhana (IKS) tidak tercemar serta bebas dengan isu rasuah,” kata Norazlan dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, modul berkenaan telah dipersetujui menerusi Mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) Bil 2/2024 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 20 Mei lalu.

Katanya, inisiatif itu selari dengan strategi B8 Dasar TVET Negara 2030 menerusi inisiatif B8.1 iaitu peningkatan kemahiran insaniah dan nilai sosial termasuk integriti serta antirasuah.

“Ia juga sejajar dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 iaitu Strategi 1 Substrategi 7 iaitu pelaksanaan modul atau kursus integriti dan anti rasuah kepada pelatih TVET di institusi TVET.

“Sejak 2021, SPRM melaksanakan pembelajaran KIAR bersama Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Negeri Sabah dan diikuti pula di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Lumpur dan Melaka.

“Pelaksanaan KIAR ini kemudian diteruskan di 22 Institusi Latihan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS),” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button