Berita SemasaSukan

Bola sepak Malaysia hilang ‘jiwa’ – mantan Naib Presiden FAM

KUALA LUMPUR – Bola sepak Malaysia sudah hilang ‘jiwanya’, demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Persatuan bola sepak Selangor, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang juga merupakan mantan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas melepaskan jawatan itu baru-baru ini.

Shahril berkata, kenyataan tersebut adalah kerana pentadbir sukan bola sepak di Malaysia tiada rasa empati terhadap orang lain.

“Melihat kepada situasi bola sepak semasa, penaung Selangor FC, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, turut menzahirkan rasa kecewa. Ia sekali gus menimbulkan persoalan berkenaan hala tuju pengurusan bola sepak,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Katanya, keputusan untuk meletakkan jawatan itu dibuat susulan tindakan Malaysian Football League (MFL) mengenakan hukuman terhadap Selangor FC selepas menarik diri daripada Piala Sumbangsih bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Mei lalu.

Beliau menganggap tindakan MFL yang mengenakan empat bentuk hukuman terhadap Selangor dilihat sebagai tidak bertimbang-rasa.

Hukuman tersebut adalah denda RM100,000, pembayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah, JDT dan MFL, bermain tanpa penonton ketika menentang JDT di laman sendiri, serta pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.

Beliau turut menegaskan bahawa dalam menangani isu berkaitan bola sepak, perlu ada keadilan dan rasa belas kasihan.

Terdahulu, Selangor FC membuat keputusan untuk tidak hadir ke perlawanan berkenaan selepas permohonan penangguhan perlawanan ditolak oleh MFL.

Penangguhan itu dimohon susulan kes jenayah serangan asid terhadap Faisal Halim pada 5 Mei lalu.

Lantaran itu, tindakan dan hukuman yang dikenakan oleh MFL terhadap Selangor FC ini mencetuskan kontroversi dan perbincangan mengenai keadilan dalam pengurusan bola sepak Malaysia.

Show More

Related Articles

Back to top button