Berita Semasa

Sertai BRICS bagi pastikan tiada satu kuasa besar kuasai dunia – Menteri Luar

KUALA LUMPUR – Hasrat Malaysia untuk menyertai kesatuan ekonomi dipelopori Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) adalah bagi menyokong usaha dalam memastikan tiada kuasa besar menguasai dunia.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan rancangan Malaysia untuk menyertai BRICS adalah satu langkah yang baik kerana ia merupakan blok yang longgar dan tidak berasaskan pertahanan mahupun keselamatan.

Jelas Menteri Luar, menerusi penyertaan itu juga, mampu membawa suara Malaysia didengari di pelbagai pentas dunia.

“Kita secara perlahan memasuki era perang dingin. Itu sebabnya, Malaysia mahu lihat dunia menjadi multipolar.

“BRICS adalah satu asas landasan untuk kita melihat, dunia ini diurus oleh satu pihak sahaja. Maka, BRICS satu gabungan negara besar dengan penduduk lebih tiga bilion.

“Kita nak memasuki satu blok yang longgar, yang boleh membawa suara kita, yang boleh membawa suara dunia. Kita mahu posisikan negara ini sebagai ‘middle state’ (negara tengah) dengan tidak condong ke mana-mana. Malaysia mahu bersahabat dengan semua negara,” jelasnya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang berpandangan Malaysia perlu ‘mengetuk pintu’ Moscow dan mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan Rusia dalam usaha untuk menyertai BRICS.

Jelas Mohamad lagi, Malaysia akan memasuki BRICS pada saat jawatan Presiden blok tersebut dipegang oleh Brazil iaitu pada tahun depan.

“Sekarang ini, Russia sebagai Presiden. Tapi tahun depan dengan Brazil, kita nak masuk ketika Malaysia menjadi pengerusi ASEAN, jadi kita berunding dengan Brazil dulu lah,” katanya lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Malaysia akan memulakan prosedur rasmi untuk menyertai organisasi antara kerajaan, BRICS tidak lama lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button