Berita Semasa

Denda MFL: Tabung Solidariti bersama Selangor FC kini dibuka – Amirudin

SHAH ALAM – Orang ramai dialu-alukan untuk menyumbang kepada Tabung Solidariti bersama Selangor FC yang telah dibuka sehingga 2 Julai depan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sumbangan tersebut akan disalurkan kepada Selangor FC bagi menuntut keadilan terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh Malaysian Football League (MFL) baru-baru ini.

“Inisiatif Solidariti Bersama Selangor FC ini bertujuan mengumpul dana yang akan diserahkan kepada Selangor FC dalam proses menuntut keadilan terhadap tindakan zalim yang dikenakan oleh MFL.

Tabung Solidariti Bersama Selangor FC yang dilancarkan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) semalam.

“Dana ini akan diuruskan oleh pihak Selangor FC bagi tujuan berkaitan. Ayuh kita gembleng sokongan demi pasukan Merah Kuning,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, orang ramai yang berhasrat untuk menyumbang boleh melakukan sedemikian dengan mengimbas kod QR yang disediakan.

Kelmarin, MFL dalam satu kenyataan berkata, ahli lembaga pengarahnya secara sebulat suara memutuskan Selangor FC dikenakan denda sebanyak RM100,000.

Keputusan itu dibuat susulan pasukan itu tidak menghadirkan diri dalam perlawanan Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 10 Mei lalu.

Selain itu, Selangor FC juga akan dikenakan pemotongan tiga mata, manakala pampasan kerugian akan ditanggung secara bersama antara Selangor FC dan JDT.

Keputusan tersebut kemudian telah mengundang murka Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan kemarahan penyokong bola sepak Malaysia di mana mereka menyifatkan ia sebagai satu kezaliman.

Susulan itu, kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) telah melancarkan Tabung Solidariti Bersama Selangor FC bagi membantu pasukan tersebut memperjuangkan keadilan terhadap hukuman tersebut.

Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button