Berita Semasa

Ramlan Harun dilantik Pengerusi SPR baharu

PUTRAJAYA – Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ramlan Harun hari ini diumumkan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baharu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pelantikan tersebut berkuat kuasa hari ini.

“Sukacita dimaklumkan bahawa selaras dengan Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan pelantikan Ramlan sebagai Pengerusi SPR,” kata Mohd Zuki dalam satu kenyataan, hari ini.

Ramlan menggantikan Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang bersara wajib pada 9 Mei lalu selepas mengetuai badan itu selama empat tahun.

Abdul Ghani menjawat jawatan berkenaan bermula Ogos 2020.

Ramlan, 60, merupakan pemegang Ijazah Sarjana Pengurusan Sumber Tanah daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Perumahan dan Bangunan daripada Universiti Sains Malaysia (USM) serta Diploma Pentadbiran Awam, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Beliau juga berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam selama lebih 20 tahun dan pernah berkhidmat di beberapa kementerian dan jabatan serta pentadbiran di peringkat negeri.

Antaranya, Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dilantik menjadi Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri.

Show More

Related Articles

Back to top button