Berita Semasa

Balai Seni Negara anjur YAE! bermula 22 Jun hingga 8 Julai

KUALA LUMPUR – Orang ramai dialu-alukan untuk menghadiri pameran akhir program Young Art Entrepreneurs (YAE!) cohort kesembilan anjuran Balai Seni Negara (BSN) yang berlangsung sehingga Julai depan.

Program yang bertemakan “Embracing A New Chapter” itu mempamerkan hasil karya seni peserta bermula dari 22 Jun hingga 8 Julai 2024 di pusat beli-belah komuniti kreatif GMBB, di sini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Mohd Yusri Mohd Yusoff berkata, program tersebut membantu para penggiat seni dalam mempromosi hasil karya seni mereka kepada orang awam.

“Program YAE! ini bertujuan untuk memberi persediaan kepada penggiat seni muda dalam melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan ilmu keusahawanan.

“Pihak kementerian melihat ia sebagai platform terbaik bagi membantu mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu dengan membuka peluang pekerjaan kepada mana-mana pihak yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan program YAE! :Embracing A New Chapter yang diadakan di pusat beli-belah komuniti kreatif GMBB, di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Shaik Rizal Sulaiman; Ketua Pengarah Seni Negara, Amerrudin Ahmad; Pengurus Besar GMBB Kuala Lumpur, Lim Ying Hui, pegawai-pegawai kanan MOTAC, jabatan dan agensi serta para penggiat seni.

Menurut BSN, program tersebut menarik penyertaan seramai 15 orang peserta yang terpilih untuk menjalani pembelajaran ilmu keusahawanan secara intensif selama empat bulan di Art Depot, Balai Seni Negara.

“Para peserta didedahkan dengan asas keusahawanan, kaedah pengurusan projek, teknik promosi dan pemasaran serta kaedah membina Model Kanvas Bisnes (BMC) yang betul sepanjang pelaksanaannya.

“Mereka turut berpeluang untuk menyertai pasaran seni di program-program kesenian dengan sokongan BSN dan berkongsi pandangan melalui penganjuran bengkel seni,” ujarnya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut berkaitan program tersebut boleh melayari laman sesawang BSN di pautan www.artgallery.gov.my atau mengikuti media rasmi BSN.

Mengikut rekod, BSN telah berjaya melahirkan seramai 138 usahawan seni melalui program YAE! sejak diperkenalkan pada tahun 2017.

Show More

Related Articles

Back to top button