Sukan

UEFA tingkatkan kawalan keselamatan, elak insiden swafoto Ronaldo berulang

GELSENKIRCHEN – Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) akan memperkenalkan langkah keselamatan lebih ketat bagi melindungi pemain susulan insiden pencerobohan padang ketika perlawanan Portugal menentang Turkiye bagi aksi peringkat kumpulan Euro 2024, Ahad lalu.

Menurut UEFA, keselamatan dan kawalan dalam stadium, di padang dan fasiliti pasukan adalah keutamaan UEFA, Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) dan Euro 2024.

“Untuk tujuan ini, langkah keselamatan tambahan akan digunapakai di stadium bagi memenuhi keperluan kejohanan dan mengelak insiden sedemikian. Untuk tujuan keselamatan, kami tidak boleh mengulas lanjut mengenai langkah spesifik (yang bakal digunakan).

“Sebarang pencerobohan ke dalam padang melanggar peraturan stadium dan akan mengakibatkan dihalau dari stadium, larangan kemasukan untuk semua perlawanan kejohanan dan pemfailan aduan jenayah rasmi kerana menceroboh,” kata UEFA dalam satu kenyataan.

Terdahulu, sebanyak enam penyokong menceroboh padang bagi mendapatkan swafoto bersama bintang Portugal, Cristiano Ronaldo pada ketika dan selepas perlawanan di Dortmund, yang menyaksikan Portugal menang 3-0 ke atas Turkiye.

Show More

Related Articles

Back to top button