Berita Semasa

Kumpulan jemaah haji pertama tiba di tanah air malam tadi

SEPANG – Seramai 280 orang daripada kumpulan pertama jemaah haji Malaysia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9.10 malam tadi.

Kumpulan jemaah dari Kelantan dan Kedah itu tiba selepas berlepas dari Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah pada pukul 6.40 pagi (waktu Arab Saudi) dengan penerbangan AMAL Malaysia Airlines.

Ketibaan mereka disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussin dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.

Mohd Na’im (dua dari kiri) bertemu para jemaah haji kumpulan pertama tiba di KLIA, malam tadi.

Dr. Mohd Na’im ketika bertemu media mengucapkan syukur dan tahniah kepada pengurusan TH atas kelancaran urusan ibabat kelima umat Islam itu.

“Kesungguhan dipamerkan oleh TH terbukti melalui pengiktirafan Anugerah Labbaittom daripada Kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Sementara itu katanya, setakat ini seramai 18 jemaah Malaysia dilaporkan meninggal dunia di Tanah Suci akibat penyakit jantung dan jangkitan kuman.

“Tidak ada seorang pun dilapor meninggal dunia akibat strok haba walaupun cuaca yang begitu panas,” katanya.

Selain itu katanya, beliau juga dimaklumkan bahawa TH sudah melaksanakan badal haji secara percuma kepada lapan jemaah yang meninggal dunia sebelum sempat melakukan wukuf di Arafah.

“Seramai 71 jemaah haji yang mengalami masalah kesihatan dan terlantar di Pusat Rawatan TH turut dibawa berwuquf di Arafah menggunakan lapan buah bas yang diubah suai melalui program Safari Wuquf supaya mereka dapat menyempurnakan rukun haji yang kedua itu,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button