Berita Semasa

PDRM tahan lapan individu disyaki terlibat aktiviti pengganas

Tangkapan dilaksanakan menerusi operasi di Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan

PUTRAJAYA – Pihak polis menahan lapan suspek termasuk dua wanita kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh dalam satu operasi khas di empat negeri pada 22 dan 23 Jun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan berkata, penahanan itu dibuat selepas mendapati wujud ancaman terhadap Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, beberapa orang kenamaan serta pimpinan PDRM.

“Polis melalui Cawangan Khas Bukit Aman berjaya mematahkan dan menahan lapan suspek dalam operasi serentak di Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan.

“Semua suspek yang ditahan ini berusia antara 25 hingga 70 tahun,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, Saifuddin Nasution mengingatkan orang ramai supaya terus prihatin dan peka terhadap ancaman bentuk baharu elemen ekstremisme, radikalisme dan keganasan yang menyalahgunakan perkembangan teknologi moden serta menjadikan media sosial sebagai salah satu medium menyebarkan fahaman yang membahayakan.

“Kerajaan Malaysia bertegas bahawa tiada sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang menjadi penghasut, pelaku, penyokong dan pemberi simpati buat elemen ekstremisme, radikalisme dan keganasan di negara ini.

“Pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang paling berat ke atas golongan ini,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button