Berita Semasa

Ribut landa Kedah, Perlis; lebih 25 buah rumah rosak

ALOR SETAR – Sekurang-kurangnya 25 buah rumah rosak dibadai ribut yang melanda Kedah dan Perlis awal pagi tadi.

Kejadian pada kira-kira pukul pukul 2 pagi itu turut mengakibatkan banyak pokok tumbang di beberapa lokasi.

Dalam satu kejadian pokok tumbang di Jalan Padang Benta di Perlis, dua mangsa dikatakan suami isteri cedera dan dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk rawatan.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi, sebanyak tujuh buah rumah terjejas akibat ribut di daerah Kubang Pasu, dekat sini kira-kira pukul 2 pagi.

“Selain itu, terdapat 11 lokasi pokok tumbang antaranya di Kampung Kota Siputeh, Kampung Kandis, Pida 2, Kampung Malau, Kampung Teluk Malik, Napoh dan Guar Napai,” katanya kepada portal Kosmo Online, hari ini.

Kata beliau, kejadian ribut tersebut berlaku dalam tempoh kira-kira 35 minit dan anggotanya telah melakukan operasi pemotongan pokok tumbang dan membersihkan kawasan berkenaan.

Sementara itu, di Perlis, menurut Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), sebanyak 18 buah rumah terjejas membabitkan 13 kariah antaranya Behor Mentaloon, Bunga Emas, Padang Besar Kurung Anai dan Kampung Chantik.

Show More

Related Articles

Back to top button