Berita Semasa

UMNO tekad bantu anak muda, 1.6 juta pekerja gig tingkatkan skil melalui program TVET

KUALA LUMPUR – UMNO di semua peringkat mesti mengambil tanggungjawab untuk membantu kerajaan melaksanakan Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara.

Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia bagi memastikan lebih 250,000 tempat-tempat pengajian TVET yang disediakan oleh 1,345 institusi TVET seluruh negara, dimanfaatkan dan dapat diisi sepenuhnya oleh anak-anak muda.

“Agenda TVET yang dipelopori oleh Presiden UMNO selaku Pengerusi Majlis TVET Negara merupakan satu inisiatif yang berimpak besar yang mampu membantu anak-anak muda yang punya potensi besar dalam pelbagai aspek kemahiran dan vokasional dapat dibela dan diberikan peluang masa depan yang lebih cerah dengan peluang pekerjaan bergaji premium,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di sini semalam.

Dalam pada itu katanya, UMNO juga mengucapkan penghargaan kepada kerajaan yang menyahut cadangan UMNO untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig.

Katanya, UMNO akan terus memainkan peranan melalui kepimpinan yang berada dalam anggota pentadbiran untuk memastikan 1.16 juta pekerja gig dibela dan dilatih melalui pelbagai program TVET ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ melalui Majlis TVET Negara yang juga dipelopori dan dipengerusikan oleh Presiden UMNO.

Dalam perkembangan lain, katanya, UMNO akan menggerakkan sepenuhnya seluruh jentera parti untuk membantu kemenangan calon parti Kerajaan Perpaduan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Sehubungan itu katanya, UMNO telah menamakan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir selaku Pengarah Pilhanraya Barisan Nasional (BN) DUN Sungai Bakap, Datuk Musa Sheikh Fadzir selaku Pengarah Operasi dan Datuk Seri Ahmad Maslan selaku Ketua War Room.

Sementara itu katanya, Mesyuarat juga bersetuju Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan pada 21 hingga 24 Ogos ini.

 

Show More

Related Articles

Back to top button