LHDN anjur Seminar Cukai Keuntungan Modal
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan menganjurkan Seminar Cukai Keuntungan Modal (SCKM) bagi menjelaskan berkenaan cukai keuntungan modal (CKM) yang telah diperkenalkan pada Januari lalu.
Menurut LHDN dalam satu kenyataan, seminar itu juga dianjurkan susulan daripada pembentangan Belanjawan 2024 lalu mengenai Rang Undang-undang Kewangan 2023 yang menguatkuasakan cadangan langkah cukai.
“Seminar ini turut membuka ruang komunikasi dua hala antara LHDN dan
para peserta menerusi maklum balas serta cadangan dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan LHDN sebagai agensi pemudah cara kepada masyarakat.
“Justeru, LHDN menjemput pembayar cukai, pengamal percukaian, akauntan, perancang kewangan dan orang ramai yang berminat untuk menyertai seminar ini dan mendaftar menerusi pautan https://forms.gle/TyRJmr7PJc7D9Msg6,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu katanya, kadar yuran adalah sebanyak RM150 untuk sesi webinar dan RM350 untuk sesi bersemuka.
Katanya, tarikh seminar untuk sesi webinar ialah pada 18 Julai dan 1 serta 15 Ogos ini.
Bagi sesi bersemuka pula ialah pada 8 Ogos ini.
Katanya, setiap peserta adalah layak untuk mendapat mata mata continuing
professional development (CPD) mengikut kaedah seminar yang dipilih.
Ujarnya, tuntutan yuran penyertaan seminar boleh dimohon dengan Pihak Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
“Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan seminar ini boleh dikemukakan
kepada meja bantuan SCKM 2024 di alamat e-mel seminarckm2024@gmail.com,” katanya.