Berita Semasa

Fahmi arah MCMC mulakan proses lantik MNO bagi bangunkan rangkaian kedua 5G

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memulakan proses menentu dan melantik syarikat penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih (MNO) yang akan membangunkan rangkaian kedua 5G di Malaysia.

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, proses tersebut termasuk mengeluarkan Pakej Maklumat Pemohon atau Applicant Information Package (AIP) pada 1 Julai ini.

“Proses ini akan dilaksanakan secara telus berdasarkan kuasa dan peruntukan yang termaktub di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kementeriannya komited bagi melaksanakan keputusan kerajaan agar negara beralih kepada model dwirangkaian 5G dalam usaha untuk menamatkan unsur monopoli perkhidmatan 5G.

Jelasnya, ia sekali gus bakal memacu hala tuju industri telekomunikasi yang lebih berdaya saing dan mapan.

“Pelaksanaan rangkaian 5G kedua ini akan dapat membantu usaha meningkatkan liputan 5G, mewujudkan persaingan sihat dalam sektor telekomunikasi, serta memastikan harga pelan dan mutu perkhidmatan 5G yang baik untuk rakyat,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Komunikasi menyambut baik pengumuman daripada pihak Digital Nasional Berhad (DNB) berkenaan penyempurnaan syarat-syarat duluan atau conditions precedent bagi Share Subsription Agreement (SSA) bersama CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL Communications untuk memegang saham dalam DNB.

“Ini merupakan antara langkah utama ke arah peralihan kepada model dwirangkaian 5G di Malaysia,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button