Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Penyelam komersial Malaysia maut di Singapura

SINGAPURA – Seorang penyelam komersial dari Malaysia maut ketika melakukan kerja pembersihan badan kapal di Eastern Anchorage, Marina South Pier, kelmarin.

Kejadian berlaku apabila mangsa berusia 22 tahun itu dipercayai tersangkut pada kipas bot sokongan penyelam yang menyebabkan kecederaan pada anggota badan.

Jurucakap Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Singapura berkata, kejadian berlaku pada pukul 2.10 petang (waktu tempatan) ketika turun ke lokasi kerja untuk kerja-kerja pembersihan lambung kapal.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Besar Singapura dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

MOM berkata, pihaknya sedang menyiasat kejadian itu dan telah mengarahkan majikan terbabit untuk menghentikan semua aktiviti menyelam.

“Sebagai langkah keselamatan umum, prosedur menyelam komersial yang ditetapkan menggunakan ‘Surface-Supplied Diving Equipment’ (SSDE) atau ‘Commercial Self-Contained Underwater Breathing Apparatus’ (CSCUBA) mesti dipatuhi,” kata jurucakap itu.

MOM berkata, penggunaan peralatan yang ditetapkan untuk kerja-kerja selaman industri penting untuk memudahkan koordinasi dan komunikasi antara penyelam dan penyelia semasa operasi.

“Peralatan selam skuba rekreasi tidak boleh digunakan untuk operasi menyelam komersial,” katanya.

Sementara itu, CNA melaporkan bahawa pihak polis berkata berdasarkan siasatan awal, tiada unsur jenayah disyaki dan siasatan sedang dijalankan.

Show More

Related Articles

Back to top button