Berita SemasaPM X

Hubungan Malaysia-China dibina atas dasar memahami dan menghargai perbezaan budaya, agama – PM Anwar

KUALA LUMPUR – Pemerhati antarabangsa khususnya dari negara Barat masih tidak dapat menerima kepentingan memahami dan menghargai perbezaan budaya dan agama khususnya dalam hubungan dua hala antara Malaysia dengan China.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, golongan itu kerap mempersoalkan sama ada perkongsian strategik yang komprehensif akan memudaratkan Malaysia, sebuah negara yang lebih kecil.

“Saya telah beri jaminan berdasarkan sejarah terdahulu dari zaman Maharani di China dan Sultan Melaka. Lawatan Perdana Menteri Li Qiang, sahabat saya yang dihormati ini, telah membuktikan (kemesraan). Kami berbincang selama berjam-jam, tanpa sebarang keangkuhan atau ultimatum.

“Walaupun terdapat isu yang dipertikaikan, kita lihat mereka sebagai rakan kongsi dan sahabat yang dipercayai… terlibat dalam perbincangan selama beberapa jam sebagai rakan kongsi setara dan boleh dipercayai,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapannya pada majlis makan tengah hari Komuniti Perniagaan Malaysia-China, di sini hari ini.

Majlis makan tengah hari itu turut dihadiri oleh Li, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Perdagangan China, Wang Wentao, anggota delegasi dan juga anggota komuniti perniagaan.

Dalam merujuk kepada skop kerjasama Malaysia-China yang lebih luas, Anwar menyentuh kepada perkara-perkara yang menjadi perhatian bersama seperti masa depan pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Kecerdasan Buatan (AI) dan kemajuan digital.

Beliau turut mengetengahkan manfaat bersama mempelajari antara satu sama lain dan bekerjasama bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat di kedua-dua negara, serta kepentingan untuk memahami dan menghargai perbezaan budaya dan agama.

Perdana Menteri kemudiannya merujuk kepada penganjuran persidangan antarabangsa besar mengenai Islam dan Konfusianisme pada tahun 1995, yang memupuk prinsip etika di samping mengetengahkan amalan ekonomi berperikemanusiaan, dan beliau melahirkan rasa gembira kerana Li Qiang turut menyokong idea untuk meningkatkan pemahaman dan dialog antara Islam dan Konfusianisme.

“Saya memilih untuk menyentuh perkara ini kerana ia sendiri merupakan satu teguran dan sanggahan terhadap propaganda berlebihan kononnya kita harus meragui dan merasa bimbang akan dominasi China dari segi ekonomi, ketenteraan, teknologi.

“Kita di Malaysia berpendirian neutral, dan mempunyai keazaman untuk bekerjasama dengan semua negara dan dengan China, kita melihat Perdana Menteri Li Qiang sebagai rakan yang akan bekerjasama dengan kita, berkolaborasi, serta membuktikan kepada dunia bahawa perpaduan, persahabatan ini amat bermakna,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button