Berita Semasa

Bekalan beras dalam pasaran negara mencukupi – KPKM

PUTRAJAYA – Bekalan beras dalam pasaran negara masih mencukupi bagi memenuhi keperluan rakyat negara ini.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, kedudukan semasa stok beras negara setakat 18 Jun adalah sebanyak 1,128,165 tan metrik dan mencukupi bagi tempoh lima ke enam bulan keperluan negara.

“Pada masa ini, kedudukan stok beras dagangan dalam negara di peringkat kilang, borong dan runcit adalah sebanyak 752,447 tan metrik, manakala 107,757 tan metrik dalam proses pemindahan kapal dan 67,961 tan metrik dalam bentuk padi beras tempatan.

“Bagi menampung keperluan beras negara, KPKM sentiasa memastikan kedudukan stok beras dagangan melebihi paras keperluan kira-kira 200,000 tan metrik sebulan,” kata kenyataan itu.

KPKM berkata, pihaknya juga telah menyediakan stok penimbal beras berjumlah 200,000 tan metrik yang sedia digunakan pada bila-bila masa, sekiranya berlaku kecemasan seperti krisis makanan global dan darurat.

Terdahulu, KPKM berkata, kerajaan turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menjamin peningkatan pengeluaran beras tempatan khususnya melalui 12 Inisiatif Gelombang Padi.

“Antara yang dirangka ialah peluasan program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Ala Sekinchan, program penanaman padi lima musim untuk dua tahun dan inisiatif memperkukuh infrastruktur pengairan sawah.

“KPKM juga menggalakkan penanaman dan pengambilan hasil tanaman-tanaman lain yang bernutrisi dan sihat oleh rakyat selain daripada makanan ruji negara,” katanya.

Katanya, perkara itu antara penekanan utama KPKM dalam melaksanakan agenda keterjaminan makanan negara selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2021-2030.

Show More

Related Articles

Back to top button