Berita SemasaPolitik

Bakal calon PRK Sungai Bakap disarankan bayar deposit awal, buat semakan awal – SPR

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyarankan bakal-bakal calon untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan membawa resit pembayaran tersebut sebagai bukti pembayaran semasa Hari Penamaan Calon (HPC) pada Sabtu ini.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, bagi melancarkan proses penamaan calon, SPR menyarankan kepada bakal-bakal calon agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang sebelum HPC.

“Pada hari HPC kertas penamaan calon hendaklah diserahkan dari pukul 9 pagi sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus di Pusat Penamaan Calon (PPC) yang terletak di Dewan Serbaguna Jawi, Jalan Serindit, Taman Desa Jawi, Pulau Pinang.

“Bakal calon boleh menyerahkan kertas penamaan melalui calon, pencadang dan penyokong iaitu mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, bakal calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya yang diperuntukkan di bawah Akta 5, adalah tertakluk kepada undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.

“Ia bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen yang mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti dan gambar pemimpin parti secara bersama atau berasingan,” jelasnya.

Katanya, bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik perlu mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan kertas penamaan calon.

“Setiap calon hanya dibenarkan diiringi oleh seorang pencadang dan seorang penyokong untuk memasuki PPC,” katanya.

Sementara itu katanya, semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik termasuk melalui apa jua jenis kenderaan adalah tidak dibenarkan pada HPC.

“Ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5],” tegasnya.

Sehubungan itu, bagi orang awam serta penyokong-penyokong calon adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang telah ditetapkan.

Show More

Related Articles

Back to top button