Berita Semasa

Ustaz Don cetus kontroversi mengenai puasa hari tasyrik

PUTRAJAYA – Pendakwah selebriti, Ustaz Don mencetuskan kontroversi lagi apabila menjawab soalan berkaitan fekah yang mendakwa umat Islam boleh berpuasa pada hari tasyrik Aidiladha.

Kenyataan tersebut dibuat oleh beliau atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid dalam slot Tanya Haji yang disiarkan di radio Suria FM, ketika ditanya mengenai puasa sunat pada hari raya haji.

Ustaz Don mendakwa umat Islam hanya tidak boleh berpuasa sunat pada hari raya pertama Aidiladha.

Namun, kenyataan beliau bercanggah dengan kesepakatan ulama ahli sunnah wal jamaah (ASWJ) yang melarang puasa pada hari tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijah.

Kontroversi tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai yang mempertikaikan kenyataan Ustaz Don.

Susulan itu, Ustaz Don memperbetulkan kembali jawapannya melalui satu video yang dimuat naik di laman sosialnya.

Ustaz Don berkata, beliau memohon maaf atas sebab memberi jawapan yang mengelirukan dan berdoa agar diampunkan oleh Allah SWT.

“Kepada semua, saya minta maaflah kerana menjawab dalam keadaan mengelirukan. Saya minta maaf pada semua, minta maaf banyak-banyak.

“Semoga Allah Taala mengampunkan kita semua. Jadi jawapan yang betul adalah pada Hari Raya Aidiladha dan hari tasyrik tak boleh puasa,” katanya dalam video di laman sosialnya.

Dalam kenyataan video tersebut, Ustaz Don turut menjelaskan bahawa kekeliruan tersebut berpunca daripada soalan yang dikemukakan kepadanya.

Menurutnya, soalan asal adalah sama ada boleh berpuasa pada Hari Raya Aidiladha ataupun tidak.

Beliau menjawab bahawa tidak boleh berpuasa di hari raya korban seperti mana Hari Raya Aidilfitri.

Kontroversi tersebut menekankan kepentingan untuk merujuk kepada sumber yang sahih dan tepat dalam isu-isu agama terutama yang melibatkan hukum-hakam dan amalan harian umat Islam.

Show More

Related Articles

Back to top button