Berita SemasaPM X

PM Anwar, PM China rasmi majlis pecah tanah stesen bersepadu ECRL

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari China, Li Qiang menyempurnakan menyempurnakan majlis perasmian pecah tanah Stesen Terminal Bersepadu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Gombak, di sini hari ini.

Majlis pecah tanah itu membuka laluan kepada penyediaan rel ECRL yang melibatkan laluan dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor yang dijangka siap pada Disember 2026, lapor BERNAMA.

Terletak di kawasan seluas 8.73 hektar di pinggir kawasan pembentukan kuarza terpanjang di dunia ‘Gombak Selangor Quartz Ridge’, stesen Terminal Bersepadu ECRL Gombak ini juga dijangka dihubungkan dengan stesen LRT Gombak sedia ada, bagi memudahkan kesalinghubungan menerusi LRT Laluan Kelana Jaya.

“Jajaran ECRL antara Gombak dan Pelabuhan Klang pula dijangka siap menjelang Disember 2027,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Stesen yang dibina untuk kegunaan penumpang itu akan menampilkan platform khusus untuk pengguna, di samping menyediakan pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta, kawasan mengambil dan menurunkan penumpang, laluan pejalan kaki berbumbung, kuarters kakitangan dan kawasan berlandskap taman.

Majlis pecah tanah hari ini adalah sebahagian daripada acara lawatan rasmi Perdana Menteri China ke Malaysia sempena ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Pengerusi MRL, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing; Pengerusi China Communications Construction Company Ltd (CCCC), Wang Tongzhou, para menteri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan Malaysia dan China.

Sementara itu, Anthony Loke dalam kenyataan sama berkata, ECRL akan mengoptimumkan kesalinghubungan untuk penumpang dan pengangkutan barang antara pantai timur dan pantai barat Semenanjung Malaysia apabila beroperasi nanti.

“ECRL dijangka akan memacu peralihan pergerakan kargo daripada pengangkutan jalan raya kepada perkhidmatan rel, iaitu mod pengangkutan alternatif yang selamat untuk jarak jauh serta mesra alam dan kos efektif.

“MOT juga sedang meneroka kemungkinan melanjutkan jajaran ECRL untuk memanfaatkan rangkaian rel Thailand, membuka jalan kepada ECRL untuk menjadi sebahagian daripada rangkaian rel Pan-Asia yang mampu menghubungkan Malaysia dengan China, sekali gus merealisasikan visi Belt and Road Initiative (BRI),” katanya.

ECRL sepanjang 665 km yang bermula dari Kota Bharu dan berakhir di Pelabuhan Klang akan menampilkan 20 stesen, terdiri daripada stesen 10 penumpang sahaja, dan 10 lagi stesen yang menggabungkan pengangkutan barang dan penumpang.

Show More

Related Articles

Back to top button