Berita Semasa

Kanak-kanak lima tahun maut dirempuh van

PASIR GUDANG – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut setelah dirempuh sebuah van di hadapan kediamannya di Jalan Suria, Bandar Seri Alam, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian berlaku pada pukul 11.35 pagi ketika pemandu van iaitu seorang wanita berusia 50 tahun menurunkan mangsa dan abangnya yang berusia enam tahun yang juga murid prasekolah di hadapan rumah mereka.

Pemandu van itu kemudian meneruskan perjalanan selepas melihat abang mangsa melepasi kenderaan itu menerusi bahagian belakang van.

Menurutnya, pemandu yang beranggapan kanak-kanak perempuan itu turut mengekori abangnya mula bergerak sebelum merempuh kanak-kanak itu yang lalu di hadapan van.

“Pemandu kemudian turun untuk melihat mangsa dan memaklumkan kepada ibu mangsa sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Masai untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

“Akibat kejadian, mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 menyebabkan kematian kerana memandu melulu dan merbahaya.

Katanya, pemandu van berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.

Show More

Related Articles

Back to top button