Berita SemasaPM X

PM Anwar ajak umat Islam hayati mesej kesederhanaan ibadah haji

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam untuk menghayati mesej kesederhanaan yang dipaculkan dalam ibadah haji agar sentiasa tawaduk dan tidak terpukau dengan tarikan kemewahan dunia yang sementara.

Perdana Menteri berkata, umat Islam diingatkan agar tidak terpesong daripada tujuannya dengan dunia harus menjadi jambatan menuju negeri abadi.

“Inilah tonggak kekuatan haji yang tidak tertandingkan, terpancar menerusi penghayatan dan amalan,” katanya dalam dalam satu perutusan Hari Raya Aidiladha menerusi lama Facebook hari ini.

Tambah Perdana Menteri, sementara kita meraikan kemeriahan Aidiladha bersama keluarga, jangan dilupakan saudara asnaf di kota dan desa.

“Kongsilah nikmat Tuhan bersama mereka dan bahagiakan mereka dengan mengerjakan ibadah korban.

“Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya antara amalan yang paling disukai Allah ialah memasukkan kegembiraan ke dalam hati mukmin, iaitu melepaskan dia dari kesedihan, atau menyelesaikan hutang yang ditanggunginya, atau memberinya makan ketika dia kelaparan, hadith riwayat al-Bayhaqi,” katanya lagi.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, peluang mengembara ke Mekah buat menunaikan haji merupakan antara kurniaan besar Ilahi kepada hambanya.

“Kita mengenang manasik Haji sebagai salah satu rukun Islam, namun seyogia diingat, haji punyai maqasid kerohanian yang tersendiri bertujuan merubah jiwa manusia agar lebih zuhud dan sederhana.

“Tatkala berihram dengan pakaian serba putih nan kosong, kita diasuh dengan nilai kebersihan dan kesederhanaan. Segala busana mewah dan lencana kehormat harus ditinggalkan.

“Demikian juga wuquf di Arafah, suatu perhimpunan raksasa tanpa mengira status, darjat dan pangkat, membugar rasa insaf dan tawaduk di hadapan Azza wa Jalla,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button