Berita Semasa

NGO sokong usaha tingkat keselamatan kanak-kanak dalam talian

KUALA LUMPUR – Usaha menangani ancaman dalam talian terutama terhadap golongan kanak-kanak memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak dan perlu dipandang serius.

Demikian dinyatakan oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang memandang serius isu-isu berkait ancaman keselamatan dalam talian khususnya melibatkan kanak-kanak di bawah usia 13 tahun.

Pegawai Advokasi Yayasan Chow Kit, Siti Rahayu Baharin berkata, usaha kerajaan meletakkan syarat usia bagi pemilikan akaun media sosial adalah contoh langkah pencegahan awal bagi melindungi kanak-kanak dalam dunia dalam talian yang dipenuhi ‘pemangsa’.

Beliau berkata, kebimbangan terhadap ancaman itu dapat dilihat melalui pertambahan jumlah kandungan Child Sexual Abuse Material (CSAM) yang semakin membimbangkan.

“Gangguan seksual terhadap kanak-kanak secara dalam talian adalah ancaman dan mereka sangat terdedah.

“Mereka mudah dipujuk oleh pemangsa kanak-kanak (pedofil) kerana alam ini tidak bersempadan dan pemangsa boleh mencari mangsa walau berada beribu-ribu batu jauhnya,” ujarnya.

Pegawai Advokasi Yayasan Chow Kit, Siti Rahayu Baharin.

Bagi melindungi anak-anak Malaysia daripada bahaya sang pemangsa, Siti Rahayu memaklumkan bahawa pihaknya bersama beberapa NGO telah mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk MCMC.

Menurutnya, penglibatan NGO di pelbagai peringkat dan melalui pelbagai pendekatan yang lebih berkesan perlu diperhebat kerana institusi itu adalah ‘touch-point’ yang paling rapat dengan isu masyarakat.

Katanya, pihaknya juga sedia memberi pandangan dan bertukar buah fikiran dalam membantu mana-mana agensi kerajaan dan kementerian bagi mencari penyelesaian kepada sesuatu isu.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU), Ida Hariati Hashim.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU), Ida Hariati Hashim berkata, kerajaan melalui MCMC dan agensi lain telah menjalankan tugas dengan baik dalam menangani isu berkait keselamatan dalam talian.

Ida Hariati berkata, selain ancaman berkaitan seksual dan buli yang kerap berlaku di dalam talian, masyarakat juga wajar memandang serius isu berita palsu yang memberikan implikasi negatif kepada semua.

Ujar beliau, keghairahan pengguna media sosial untuk berkongsi maklumat yang tidak pasti kesahihannya boleh mengundang bahaya jika ia tidak dibendung.

“Kanak-kanak terdedah dengan masalah keselamatan dalam talian kerana mereka tidak tahu hak serta cara untuk melindungi diri mereka dan kadang-kala, orang dewasa sendiri pun termakan dengan berita palsu inikan pula kanak-kanak yang bukan semuanya sudah matang untuk memproses sesuatu maklumat”

“Perlu juga difahami bahawa, keselamatan dalam talian ada ancaman secara terus (direct threat) dan secara tidak terus (indirect threat) apabila ada orang dewasa sendiri yang menyumbang kepada penyebaran luas berita palsu.

“Dalam isu ini, kematangan dalam memproses maklumat amat penting supaya kita semua tidak menjadi mangsa maklumat palsu,” katanya.

Walau bagaimanapun, Ida Hariati berkata, dalam memperkukuh ekosistem dalam talian agar lebih selamat untuk kanak-kanak, inisiatif oleh MCMC seharusnya disokong menerusi pendekatan whole-of-nation yang melibatkan kerjasama pelbagai lapisan masyarakat serta lain-lain agensi kerajaan.

“Kita memerlukan satu usaha bersama di semua peringkat sama ada ibu bapa, guru, kerajaan dan pihak swasta dalam melindungi anak-anak kita.

“Kita semua pasti tersedar bahawa kita sudah tersilap apabila kita memandang remeh isu ini,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button