Jenayah & Mahkamah

Dua lelaki disyaki penjenayah maut ditembak

JOHOR BAHRU – Dua individu ddisyaki penjenayah terbunuh selepas berbalas tembakan dengan anggota polis di Jalan Abad, Taman Abad, dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, Polis Kontinjen Johor mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian polis berbalas tembakan pada pukul 5.04 petang.

Menurutnya, seorang suspek berusia 42 tahun bersama rakannya mati ditembak ketika berada dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

“Kejadian berlaku semasa sepasukan polis dari Bahagian D14, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian D9, JSJ Kontinjen Johor mengekori sebuah Toyota Estima berwarna putih di lokasi kejadian dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila menyedari telah diekori, suspek bertindak melarikan diri sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis yang sedang mengekori rapat.

“Tindakan suspek menyebabkan pihak polis turut melepaskan tembakan ke arah MPV dinaiki suspek, kejadian berbalas tembakan berlarutan sehingga keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kumar memberitahu, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek yang berada di dalam Toyota Estima tersebut telah terkena tembakan dan meninggal dunia.

Tambahnya, semakan mendapati suspek berusia 42 tahun mempunyai 38 rekod jenayah dan dadah manakala seorang lagi suspek masih belum dikenal pasti identiti selepas tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai.

Pemeriksaan turut menemukan dua pucuk pistol dalam kenderaan tersebut.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lain berhubung kejadian ini dirayu tampil menyalurkan maklumat ke talian hotline Polis Johor 019-2792095 atau talian bilik gerakan 07-221299,” tambahnya.

Show More

Related Articles

Back to top button