Berita SemasaSukan

PM beri jaminan bantu industri sukan negara

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bersedia untuk membantu  industri sukan negara dengan peruntukan khas kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membantu melonjakkan industri tersebut.

Anwar berkata, beliau menekankan pentingnya memberi sokongan kepada sektor sukan meskipun negara sedang menghadapi kekangan kewangan namun wajar memberi pertimbangan khas itu terutama dalam persediaan menghadapi temasya Olimpik Paris 2024 seperti Program Podium dan Road To Gold.

“Seluruh Jemaah Menteri Kerajaan Madani memberi perhatian dalam satu bidang yang penting kepada rakyat, khususnya sukan.

“Saya beri jaminan seandainya ada peluang dan keperluan yang boleh diangkat dalam kekangan ekonomi, saya tetap beri pertimbangan khas untuk melonjakkan kegiatan sukan negara,” katanya dalam ucapan perasmian.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Anugerah Sukan Negara 2023 di Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim.

Dalam majlis tersebut, Anwar menzahirkan penghargaan kepada semua atlet yang telah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Mike Mahen dan Natasha Roslan dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2023 di Bukit Jalil, malam tadi.

Beliau menekankan bahawa kejayaan atlet adalah hasil usaha bersama kementerian, keluarga, persatuan sukan dan masyarakat yang memberi semangat serta dorongan kepada mereka.

“Malam ini kita tentunya memberi perhatian dari sudut pengiktirafan kepada anak-anak kita yang telah mencatat kejayaan luar biasa. Namun tidak harus dilupakan juga bahawa dalam kejayaan ini adalah hasil kerja pasukan kementerian, keluarganya, persatuan sukan serta masyarakat yang memberi semangat dan mendorong mereka,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa industri sukan mempunyai potensi besar untuk menyatupadukan rakyat dari pelbagai latar belakang.

Menurutnya, aktiviti sukan tidak memisahkan antara kelompok bandar dan luar bandar, malah merentasi kaum dan agama, sekali gus menyemai semangat cintakan negara.

“Sukan memberi manfaat kepada negara kerana ia menyatukan kita sebagai satu pasukan, yang melahirkan kecintaan kepada negara. Dunia olahraga ini adalah dunia yang boleh menyatukan kita,” kata Anwar.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga menyatakan kesediaan beliau untuk memberi pertimbangan kepada semua pihak, termasuk persatuan sukan negara, dalam usaha memperkasakan industri sukan.

Show More

Related Articles

Back to top button