Berita Semasa

Pendakwaan terpilih, SPRM nafi dakwaan Ketua Pembangkang

PUTRAJAYA – Tan Sri Azam Baki menolak tuduhan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendakwa siasatan terhadap anaknya adalah sebagai rancangan mencemar imej politiknya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM itu sebaliknya menegaskan pihaknya hanya menjalankan tanggungjawab tanpa mengira latar belakang ataupun melakukan pendakwaan terpilih.

“Saya tidak bersetuju dengan kenyataan berkenaan kerana tindakan kami adalah tindakan yang profesional, tidak mengira siapa sama ada pihak pegawai kerajaan, ahli politik ‘government of the day’ dan sebagainya.

“Apabila ada report (laporan) dan kesalahan, kita akan tuduh di mahkamah, itu saja kerja saya, saya tidak ada selective prosecution (pendakwaan terpilih) di sini,” katanya dalam sidang media.

Dalam pada itu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung BERSATU dan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), sebelum ini menuduh bahawa pendakwaan anaknya bertujuan menjatuhkan reputasi beliau sebagai ahli politik.

Beliau turut mendakwa kerajaan melalui pelbagai agensi gagal mencipta naratif dan pertuduhan politik terhadap semua pemimpin BERSATU, termasuk dirinya.

Pada 5 Jun lalu, anak lelaki Datuk Seri Hamzah, Muhammad Faisal, 40, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima rasuah RM100,000.

Show More

Related Articles

Back to top button