Berita SemasaPM X

Singapura pertimbang hantar guru mengajar di Malaysia

PUTRAJAYA – Guru dari Singapura mungkin ditempatkan di beberapa kawasan di negara ini bagi mengajar bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau ada berbincang mengenai kemungkinan itu ketika pertemuannya dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Lawrence Wong di Seri Perdana, hari ini.

“Kami memang ada berbincang mengenai kemungkinan Singapura menimbangkan permintaan saya agar menghantar guru-guru bagi mengajar bahasa Inggeris atau mata pelajaran lain ke beberapa kawasan di negara ini.

“Biarlah siswazah muda membuat pilihan sendiri (mata pelajaran mana yang hendak diajar) jika boleh,” katanya pada sidang akhbar bersama dengan Wong, hari ini.

Anwar berkata, beliau gembira apabila Perdana Menteri Singapura itu menyatakan kesediaan untuk menimbangkan permintaannya itu bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain di negara ini.

“Perkara ini bukan sesuatu yang kami rangka terlebih dahulu menerusi pegawai-pegawai terlibat. Cuma, kita cuba buktikan bahawa adakalanya perdana menteri boleh buat keputusan tertentu sebelum memaklumkan kepada menteri berkaitan,” katanya lagi.

Terdahulu, Anwar dan Lawrence bermesyuarat sempena lawatan sulung perdana menteri republik itu sejak mengangkat sumpah untuk jawatan berkenaan pada 15 Mei.

Lawatan Wong menekankan komitmen bersama Malaysia dan Singapura dalam mengukuhkan hubungan yang lama terjalin, dan sebagai persediaan bagi sesi Pemukiman Tahunan Pemimpin yang akan dianjurkan oleh Malaysia pada hujung tahun ini.

Pada 2023, Malaysia dan Singapura masing-masing rakan dagang kedua terbesar di peringkat global serta terbesar dalam kalangan negara Asean dengan jumlah dagangan bernilai RM363.13 bilion (USD 79.60 bilion).

Show More

Related Articles

Back to top button