Berita Semasa

MB Terengganu puji penyasaran subsidi diesel langkah tepat, berani

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu menyifatkan penyasaran subsidi diesel oleh Putrajaya langkah tepat dan berani, tetapi pelaksanaannya perlu mengutamakan kebajikan rakyat.

Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan Putrajaya melaksanakan pengapungan harga diesel secara cermat bagi mengurangkan impak berantai yang boleh membebankan rakyat masih bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

“Kita sedar penyasaran subsidi memang perlu dilakukan bagi mengatasi masalah kebocoran dan ketirisan tanpa disedari, termasuk oleh syarikat tiada kaitan dengan kita.

“Tetapi, kerajaan persekutuan perlu mengambil kira dan mengutamakan kesan, terutamanya kos sara hidup rakyat,” katanya menurut Harian Metro dalam Program Conference Of Head Academic Departments 2024 di sini hari ini.

Ahad lalu, kerajaan persekutuan mengumumkan pengapungan diesel pada harga RM3.35 sen seliter mulai Isnin lalu berbanding RM2.15 sen seliter sebelum ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata penyasaran subsidi diesel itu mampu jimat RM4 bilion setahun dan memberi ruang fiskal lebih luas kepada kerajaan untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Samsuri berkata, penyasaran subsidi diesel sepatutnya dilakukan secara berperingkat bagi mengurangkan kesan berantai kepada rakyat kerana kenaikan harga diesel secara mendadak mula dirasai beberapa penyedia perkhidmatan dan pengeluar barangan yang mengumumkan kenaikan harga.

“Ini adalah satu cabaran sangat besar kerajaan persekutuan untuk menanganinya.

“Persoalan ini yang saya rasa tidak mudah untuk diselesaikan, tetapi saya mengucapkan selamat berjaya kepada pentadbiran kerajaan persekutuan,” katanya Ahli Parlimen Kemaman itu.

Show More

Related Articles

Back to top button