Berita Semasa

KPDN rampas produk muruku guna logo halal tidak sah

TAIPING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak semalam merampas lebih 1,000 pek muruku didapati menggunakan logo halal tidak sah di sebuah kilang di Taman Pengkalan Maju, di sini.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, tindakan itu dibuat sepasukan anggota penguat kuasa KPDN selepas menjalankan pemeriksaan di sebuah kilang memproses muruku di lokasi berkenaan.

Jelasnya, pemeriksaan ke atas premis tersebut menelmukan sejumlah produk makanan ringan yang telah ditandakan dengan logo halal tidak sah yang dipercayai digunakan untuk tujuan perdagangan.

“Hasil semakan lanjut mendapati, sijil pengesahan halal untuk produk dikeluarkan premis itu telah tamat tempoh pada 17 Mei 2017.

“Logo halal pada enam jenis produk muruku yang dikeluarkan adalah untuk edaran jualan sekitar utara Semenanjung Malaysia.

“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 selain bertindak menyita kesemua 1,580 unit produk makanan yang menggunakan logo halal tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

KPDN turut menyita kesemua 1,580 unit produk makanan yang turut disyaki menggunakan logo halal tidak sah selepas menjalankan pemeriksaan di kilang tersebut.

Tambahnya, nilai keseluruhan barang rampasan adalah dianggarkan berjumlah RM8,128.40.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Perintah 8(a),Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan, barang-barang atau perkhidmatan yang berhubung dengan makanan atau barang-barang itu adalah halal.

Jelasnya, hukuman denda tidak melebihi RM500,000 boleh dikenakan ke atas syarikat terlibat jika sabit kesalahan manakala bagi individu pula boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu Kamalludin menegaskan pihaknya memandang serius tindakan peniaga menggunakan perakuan dan penandaan halal ke atas produk makanan atau barangan keluaran yang melanggar undang-undang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

Sehubungan itu pihaknya mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk mengemukan sebarang aduan kepada KPDN untuk tindakan lanjut berkaitan kes seumpamanya melalui saluran-saluran yang disediakan.

Show More

Related Articles

Back to top button