Berita Semasa

Dr Mahathir nafi buat keputusan sendiri kes Batu Puteh

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan beliau membuat keputusan sendiri berhubung kes Batu Puteh sehingga Malaysia kehilangan kedaulatan ke atas lokasi tersebut di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, keputusan itu sebenarnya telah dibuat sebulat suara bersama Kabinetnya pada tahun 2018.

“Saya tidak membuat keputusan secara bersendirian, sebaliknya hanya memberikan pendapat bahawa Malaysia tidak patut meneruskan kerana ia adalah kes yang lemah dan kita tidak mempunyai ‘peluru’ untuk menang,” katanya dalam satu sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

Menurutnya, beliau hanya memberikan pandangan untuk tidak meneruskan kes tersebut kerana pakar dan peguam berpendapat Malaysia membawa kes yang lemah.

Dr Mahathir turut menegaskan bahawa walaupun sebagai Perdana Menteri beliau mempunyai kuasa namun, beliau tetap memilih untuk tidak membuat keputusan sendirian.

Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan beliau membuat keputusan sendiri berhubung kes Batu Puteh.

“Keputusan tersebut dibuat oleh Kabinet dan keputusan itu perlu diserahkan kepada ICJ pada 8 Jun 2018,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau memberikan kenyataan tersebut susulan dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada April lalu.

Azalina mendakwa Perdana Menteri pada tahun 2018 membuat keputusan secara sembunyi-sembunyi dan bertanggungjawab menyebabkan Malaysia kehilangan Batu Puteh dalam proses rayuan di mahkamah antarabangsa.

Show More

Related Articles

Back to top button