Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Lapan terbabit sindiket jual tanah Felda ditahan SPRM

KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lapan individu dipercayai bersekongkol dan menerima rasuah hampir RM2 juta daripada sindiket penjualan tanah milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Melaka.

Di Kuala Lumpur, penahanan membabitkan tiga broker dan dua orang awam manakala di Sabah melibatkan dua pegawai bank, seorang pengarah syarikat dalam lingkungan usia 20 hingga 50-an.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 17 Jun 2024 terhadap lima suspek lelaki dikeluarkan Majistret Lili Marisqa Khalizan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

Manakala di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, tiga suspek terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki dikenakan reman selama enam hari sehingga 16 Jun 2024.

Menurut sumber, tiga broker bersama-sama pengarah syarikat dan dua orang awam yang bertindak sebagai orang tengah itu telah memberi rasuah hampir RM2 juta kepada dua pegawai bank sebagai balasan membantu meluluskan pembukaan akaun perbankan yang kononnya didaftarkan atas nama Felda.

“Akaun perbankan yang dibuka dengan bantuan pegawai-pegawai bank berkenaan atas nama Felda ini bagi memancing kepercayaan pembeli yang menyangkakan bahawa urus niaga penjualan tanah itu adalah ‘genuine’ daripada Felda, seterusnya melakukan pembayaran ke akaun berkenaan.

“Tindakan pegawai bank yang bersekongkol dengan sindiket ini telah menyebabkan tanah milik Felda seluas lebih kurang 260 hektar bernilai RM400 juta di Bukit Katil, Melaka telah dijual pada 2023,” katanya.

Sumber berkata, kesemua suspek ditahan antara pukul 6 petang semalam hingga 1 pagi tadi ketika hadir untuk dirakamkan keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur dan Pejabat SPRM Sabah.

Katanya, susulan penahanan itu juga, SPRM turut menyita hampir 200 akaun bank milik individu dan syarikat membabitkan nilai lebih RM28 juta.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek berkenaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA)

Show More

Related Articles

Back to top button